T.O.P (Trio On Point) (2021) | Episod 51 - Sistem HIDE & Impak Ke Atas Ekonomi Negara
Description
Sabtu lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan memaklumkan premis termasuk Bazar Ramadan yang tersenarai dalam sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) diarahkan ditutup selama 3 hari berkuat kuasa serta-merta kerana dikenal pasti sebagai lokasi berisiko kepada penularan kes COVID-19. Pengumuman tersebut mendapat maklum balas yang pelbagai bukan sahaja daripada warganet tetapi juga persatuan-persatuan mewakili sektor peruncitan. Antara persoalan yang dibangkitkan termasuk mengapa hanya pusat membeli-belah yang disenaraikan tetapi bukan kilang mahupun tapak pembinaan, dan bagaimana sebenarnya sistem HIDE berfungsi.
Ekoran kekeliruan yang timbul, Menteri Penyelaras Program COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin tampil menjelaskan bahawa sistem amaran awal HIDE - dibangunkan Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia - mampu mencegah pembentukan kluster COVID-19 baharu sekiranya penyenaraian lokasi yang dikenal pasti diambil tindakan awal oleh pihak berkuasa, pemilik premis dan orang awam. Tegasnya, premis atau lokasi yang disenaraikan dalam HIDE bukanlah suatu kluster yang disahkan sebagai kluster penyebaran COVID-19. Bagaimanapun, premis tersebut berpotensi menjadi kluster sekiranya tiada tindakan awal diambil.
T.O.P (Trio On Point) malam ini yang dibarisi Nazrudin Rahman, Nirwan Faiyuni dan Datuk Zaini Hassan akan cuba meleraikan kekeliruan ramai mengenai HIDE serta melihat impaknya ke atas ekonomi negara. Pastikan anda mengikuti perbincangan mereka pada jam 10.30 malam ini di ntv7. Anda juga boleh strim T.O.P secara langsung di saluran YouTube nt7MALAYSIA.
#TrioOnPoint #TOP
Comments